Konflik Asia Barat: KPKM kaji impak terhadap sektor makanan negara

Datuk Seri Mohamad Sabu (tiga, kanan) hadir ke Majlis Perjumpaan Bersama Warga KPKM Sempena Ramadan 2026 di Wisma Tani / BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Mac – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menilai kemungkinan kesan konflik di Asia Barat terhadap sektor makanan negara, termasuk potensi peningkatan kos input pertanian susulan ketidaktentuan harga minyak dunia.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini kesan langsung terhadap bekalan makanan negara dijangka terhad kerana kebanyakan import makanan Malaysia tidak diperoleh dari negara-negara di Asia Barat.

Beliau berkata, sebahagian besar import makanan negara datang dari negara ASEAN, India, Pakistan, New Zealand, Australia, Brazil dan China.

“Buat masa ini, kesannya tidak begitu ketara kerana kita tidak banyak mengimport barangan makanan dari Asia Barat. Namun begitu, kenaikan harga minyak dunia berkemungkinan menyebabkan peningkatan harga dan sebagainya. Kita akan menunggu laporan terlebih dahulu, kita tidak boleh membuat spekulasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama warga kementerian sempena Ramadan 2026 di Wisma Tani, Putrajaya.

Namun, katanya kenaikan harga minyak dunia berpotensi menjejaskan kos pengeluaran pertanian, termasuk kemungkinan peningkatan harga baja.

Menurut beliau, pegawai kementerian kini sedang menjalankan analisis secara intensif bagi mendapatkan maklumat awal serta membuat unjuran sekiranya harga minyak terus meningkat.

Datuk Seri Mohamad berkata, KPKM juga sedang melaksanakan semakan stok bagi menilai jumlah bekalan input pertanian sedia ada serta tempoh bekalan itu mampu bertahan.

Beliau berkata antara langkah lain termasuk merancang keperluan bekalan berdasarkan stok sedia ada selain meningkatkan usaha pengeluaran makanan tempatan.

Usaha itu melibatkan penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian, selain membuka kawasan pertanian baharu terutama di Sabah dan Sarawak serta membangunkan tanah terbiar.

Pada masa sama, katanya kerajaan terus memberi tumpuan kepada isu keterjaminan makanan, khususnya bekalan beras yang merupakan komponen paling penting dalam keselamatan makanan negara, walaupun harga beras import ketika ini dilaporkan stabil.