Konflik Asia Barat: KPDN tingkat pemantauan risiko seludup bahan api

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali /Foto BERNAMA

SELANGOR, 10 Mac– Pemantauan dan penguatkuasaan di sempadan negara akan ditingkatkan bagi mengekang risiko penyeludupan bahan api susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan kenaikan harga minyak dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Tiris diperhebat untuk cegah penyeludupan bahan api ke negara jiran.
  • Perbandingan harga bahan api dengan negara jiran tanpa subsidi meningkatkan kecenderungan penyeludupan.
  • Bekalan barangan makanan asas dijamin mencukupi melalui pemantauan KPKM, pemborong, pengeluar dan peruncit.
  • Rakyat dinasihatkan elak pembelian panik terutama menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, kementerian akan mempergiat pelaksanaan Op Tiris dalam memastikan bekalan bahan api tidak diseludup keluar ke negara jiran.

“Kita tahu harga minyak dunia pun jauh meningkat sekarang, telah melebihi USD100 lebih pun. Jadi risiko penyeludupan itu akan tetap berlaku kerana harga industri akan naik mengikut harga pasaran.Selain itu, jika dibandingkan dengan harga (bahan api) di negara-negara jiran yang tidak ada subsidi sebagaimana kita. Jadi ada kecenderungan risiko yang agak besar berlakunya penyeludupan, maka kita akan meningkatkan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di Ampang, Selangor.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan, bekalan barangan asas bagi musim perayaan mencukupi walaupun terdapat kebimbangan kesan konflik Asia Barat kepada bekalan import.

Tambah beliau, pihak KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan bekerjasama bagi mengenal pasti sumber alternatif sekiranya terdapat negara terpaksa menghentikan eksport susulan konflik itu.

Justeru, beliau menasihati rakyat supaya tidak membuat pembelian panik terutamanya ketika menjelang Aidilfitri.