Konflik Asia Barat, kerajaan masih mampu kekalkan harga RON95

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Mac– Kerajaan terus memantau rapat perkembangan konflik di Asia Barat susulan ia mampu memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara, termasuk keupayaan mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketegangan geopolitik boleh mengganggu laluan perdagangan utama di Selat Hormuz.
  • Kesan berantai kepada kos pengangkutan, perdagangan dan bekalan tenaga global perlu diambil kira.
  • Kerajaan menggesa rakyat, penjawat awam dan peniaga supaya lebih berjimat serta berwaspada.
  • Perdana Menteri menjalinkan perbincangan dengan pemimpin dunia dan negara Teluk untuk menilai kesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata situasi geopolitik yang semakin tegang susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran boleh menjejaskan laluan perdagangan utama dunia di Selat Hormuz.

Faktor tersebut sekali gus memberi kesan kepada kos pengangkutan, perdagangan serta bekalan tenaga global.

“Setakat ini, seperti yang saya umumkan sebelum ini, kerajaan akan berusaha mengawal harga termasuk RON95 pada kadar sekitar RM1.99. Namun keadaan ini akan terus dipantau kerana buat masa ini kita masih mampu bertahan dalam tempoh satu hingga dua bulan, walaupun petanda awal tidak begitu baik dan kurang menyenangkan.”

“Saya menyarankan agar seluruh masyarakat, termasuk penjawat awam, pekerja dan peniaga, supaya lebih berwaspada terhadap perkembangan ini.”

“Kita perlu berterus terang dan menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat. Keadaan masih perlu dipantau dan kita tidak boleh leka seolah-olah tiada apa yang akan berlaku. Oleh itu, sesiapa yang boleh berjimat dan berbelanja secara lebih cermat, eloklah mula berbuat demikian dari sekarang,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata perkembangan itu turut dibincangkan bersama beberapa pemimpin dunia dalam usaha menilai kesannya terhadap kestabilan ekonomi dan geopolitik rantau.

“Yang ingin saya sampaikan ialah dalam tempoh sehari dua ini, termasuk malam tadi dan insya-Allah petang ini, saya telah dan akan terus berhubung dengan rakan-rakan sejawat di Asia Barat serta negara Teluk.

“Semalam saya berbincang dengan Presiden Erdogan, sebelum itu dengan Presiden Prabowo dari Indonesia, selain Perdana Menteri Pakistan dan Perdana Menteri Afghanistan. Hari ini pula, insya-Allah saya akan menghubungi beberapa lagi pemimpin negara Teluk termasuk Emir Qatar,” katanya.