
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Setakat pukul 5.15 petang, jumlah rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas telah menurun kepada 641 orang di beberapa lokasi di rantau Asia Barat yang sedang tergolak.
- Wisma Putra sahkan perwakilan diplomatik Malaysia di Asia Barat beroperasi penuh untuk menyelaras evakuasi rakyat.
- Arab Saudi jadi hab serantau; rakyat dikumpul lalu dibawa ke Riyadh dan Jeddah sebelum diterbangkan pulang.
- Pegawai konsular ditempatkan di hab transit dan sempadan; rakyat digesa daftar melalui e-Konsular; bilik operasi Kementerian 24 jam.
Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan semua rakyat Malaysia telah dihubungi oleh Perwakilan Diplomatik Malaysia dilaporkan selamat, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas bersama United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) di Lubnan.
“Usaha semasa terus tertumpu kepada membantu rakyat Malaysia yang masih terkandas”, katanya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi & Diplomasi Awam Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra mengesahkan semua Perwakilan Diplomatik Malaysia di Asia Barat kini beroperasi penuh bagi menyelaraskan evakuasi rakyat berikutan konflik serantau.
“Pegawai konsular telah ditempatkan di hab transit dan sempadan bagi membantu urusan dokumentasi serta pergerakan konvoi ke lokasi selamat.
Arab Saudi kini menjadi hab utama pengumpulan rakyat dari kawasan sekatan ruang udara, dan mereka dibawa melalui jalan darat ke Riyadh dan Jeddah sebelum diterbangkan pulang.
Jumlah jemaah umrah yang terkandas di Jeddah kini telah berkurang kepada bawah 300 orang, dengan penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, dan Batik Air dijadualkan berlepas antara 8 hingga 9 Mac ini.
Sementara itu, sektor penerbangan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman mula menunjukkan pemulihan.
“Emirates dan Etihad Airways telah menyambung semula jadual terhad ke Kuala Lumpur, manakala Oman Air turut membantu menghantar pulang pelajar Malaysia secara percuma hari ini. Walau bagaimanapun, operasi di Qatar dan beberapa kawasan lain masih terhad akibat penutupan ruang udara berkala.
Meskipun terdapat kenyataan daripada Majlis Kepimpinan Interim Iran mengenai penggantungan serangan yang berpotensi mengurangkan ketegangan, Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kekal berwaspada.
“Pemantauan rapi diteruskan memandangkan status keselamatan serantau yang masih tidak menentu bagi memastikan keselamatan seluruh rakyat Malaysia terjamin”, katanya.
Berkenaan penyelarasan evakuasi serantau pula, Arab Saudi terus berfungsi sebagai hab serantau. Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan pada 5 Mac 2026 kekal berkuat kuasa.
Rakyat Malaysia di rantau berkenaan adalah digesa untuk segera mendaftar dan mengemas kini maklumat melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my atau melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat.
Pengaturan evakuasi akan diselaras berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar. Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya 24 jam sehari dan boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my