Konflik Asia Barat: Impak kepada sektor digital diteliti – Gobind

Gobind ketika merasmikan Pusat Fusion Standard Chartered di ibu negara, hari ini. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 April – Kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara(MTEN)sedang meneliti kemungkinan kesan konflik Asia Barat terhadap sektor digital negara .

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebimbangan utama termasuk penjimatan tenaga dan potensi impak terhadap infrastruktur digital negara.
  • Jawatankuasa khas merangka strategi kesiapsiagaan dan langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko gangguan sektor digital dan ekonomi.
  • Kerajaan komited memastikan negara bersedia menghadapi kemungkinan serta yakin mencapai sasaran 30 peratus ekonomi digital menjelang 2030.

Menurut Menteri Digital Gobind Singh Deo, beberapa kebimbangan dibangkitkan, khususnya berkaitan penjimatan tenaga dan potensi impak kepada infrastruktur digital negara.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih di peringkat kajian.

”Kita ada jawatankuasa yang diketuai oleh yang berhormat Perdana Menteri melihat kepada semua aspek. Dan kita akan tentu sahkan dan pastikan bahawa langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan bahawa sekiranya berlaku sebarang perkara yang perlu kita uruskan kita bersedia lah”, katanya ketika berucap pada majlis ulang tahun ke -25 perkhidmatan perniagaan global Standard Chartered Malaysia serta pelancaran dan perasmian Pusat Fusion Standard Chartered di ibu negara.

Katanya lagi kerajaan komited untuk memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan perkembangan konflik tersebut.

Jawatankuasa khas itu juga berperanan merangka strategi kesiapsiagaan negara, termasuk langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap sektor digital dan ekonomi.

Pada masa sama beliau yakin negara kekal berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 30 peratus ekonomi digital menjelang 2030.