
PUTRAJAYA, 6 Mac – Seramai 31,952 rakyat Malaysia dikenal pasti berada di beberapa negara Asia Barat yang terjejas akibat konflik di rantau itu.
- 2,289 rakyat Malaysia direkodkan terkandas akibat pembatalan penerbangan dan sekatan ruang udara.
- Seramai 21,169 rakyat Malaysia berdaftar dengan perwakilan diplomatik di negara terjejas.
- Arab Saudi 10,281 warga (1,670 terkandas); UAE 9,062 (465 terkandas); Qatar 6,328 (98 terkandas).
- Kerajaan melaksanakan pemindahan berperingkat, e-Konsular, bilik gerakan 24 jam dan perwakilan urus logistik serta bantuan kebajikan.
Daripada jumlah itu, 2,289 daripadanya direkodkan terkandas susulan pembatalan penerbangan serta sekatan ruang udara di beberapa negara.
Ketua Protokol Kementerian Luar Ikram Mohd Ibrahim berkata daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 21,169 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan perwakilan diplomatik Malaysia di negara terbabit.
“Setakat ini semua rakyat Malaysia yang dikenal pasti berada di negara terjejas dilaporkan selamat dan tiada sebarang laporan kemalangan atau kecederaan diterima,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan konflik Asia Barat di Wisma Putra di sini hari ini.
Beliau berkata Arab Saudi merekodkan jumlah rakyat Malaysia tertinggi iaitu kira-kira 10,281 orang termasuk 1,670 individu yang dilaporkan terkandas.
Menurutnya, di Emiriah Arab Bersatu pula terdapat kira-kira 9,062 rakyat Malaysia dengan 465 daripadanya terkandas di Dubai dan Abu Dhabi.
“Di Qatar pula terdapat kira-kira 6,328 rakyat Malaysia dengan 98 daripadanya direkodkan terkandas,” katanya.
Ikram berkata kerajaan kini melaksanakan operasi pemindahan pulang rakyat Malaysia secara berperingkat berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi sistem pendaftaran e-Konsular.
Beliau berkata perwakilan diplomatik Malaysia juga sedang menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar bagi mengesahkan tahap keselamatan mereka serta menentukan keperluan bantuan pemindahan.
“Bilik gerakan operasi selama 24 jam turut diaktifkan di Putrajaya dan perwakilan Malaysia di luar negara bagi menyelaras logistik penerbangan, dokumentasi perjalanan, urusan lintasan sempadan serta bantuan kebajikan kepada rakyat Malaysia yang menunggu untuk pulang,” katanya.
Konflik di Asia Barat memuncak susulan siri serangan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sejak akhir Februari lalu yang turut menyebabkan beberapa negara di rantau itu menutup ruang udara serta membatalkan penerbangan komersial.