fb fb fb fb fb

Komuniti perlu main peranan sebar maklumat inisiatif kerajaan

Fahmi Fadzil / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Setiap komuniti disarankan untuk memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat mengenai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan agar tiada golongan yang terkecuali daripada menerima manfaat.

Fokus utama adalah menyebarluaskan perincian pelbagai program dan peruntukan yang disalurkan melalui agensi-agensi berkaitan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya melalui Kementerian Komunikasi dan agensi-agensi di bawahnya mengambil langkah proaktif dalam menyampaikan maklumat yang dapat memperkasakan komuniti setempat.

"Kita akan mengambil langkah proaktif untuk mendekati komuniti-komuniti ini dan membantu mereka dalam membuat permohonan yang berkenaan.

"Inilah yang akan kami laksanakan kerana program SejaTi MADANI sangat bermanfaat, terutamanya dalam meningkatkan ekonomi setempat," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan bantuan sempena Deepavali kepada 250 orang masyarakat India beragama Hindu di Kuil Arulmigu Sri Ramalingeswarar Sivaalayan, Bangsar, di sini.

SejaTi MADANI merupakan inisiatif baharu oleh Kerajaan Perpaduan, bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti dengan meningkatkan pendapatan melalui pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan menumpukan usaha untuk memastikan kebajikan dan keselesaan pelajar dalam menimba ilmu tanpa mengira latar belakang atau bangsa.

Ini susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai peruntukan RM1 bilion yang dikhususkan untuk penyelenggaraan semua jenis sekolah, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM