fb fb fb fb fb

Komuniti MADANI wajib 'download' SpeedTest dan PriceCatcher

Fahmi Fadzil

KOTA KINABALU, 17 Mei- Semua ahli Komuniti MADANI diwajibkan memuat turun aplikasi telefon pintar SpeedTest dan PriceCatcher bagi membantu memantau kualiti internet serta harga barang di kawasan masing-masing.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ahli komuniti boleh melakukan saringan terhadap internet di sesuatu lokasi melalui SpeedTest sebelum melaporkan secara terus kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) jika menemukan kawasan yang mempunyai kualiti internet rendah.

Aplikasi PriceCatcher daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula membolehkan rakyat di peringkat akar umbi membandingkan harga barang.

Ia seterusnya memberikan mereka kuasa untuk memilih barang dengan harga yang berpatutan.

"Pastikan menerusi Komuniti MADANI, maklumat Kerajaan Persekutuan dan negeri sampai ke peringkat akar umbi supaya tak jadi isu.

"Sampaikan dalam bahasa cocok dengan komuniti itu supaya ikhtiar kerajaan sampai kepada rakyat hingga peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sembang santai bersama Komuniti MADANI di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu, Datuk Christina Liew bagi memastikan kelancaran Sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September nanti yang disambut di Sabah.

SITI AISHAH MD ISA