fb fb fb fb fb

Komuniti dunia harus berani paksa Israel patuh ICJ - PM Anwar

FOTO FB Anwar Ibrahim

Melbourne, 6 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyentuh konflik di Gaza pada sesi pemukiman Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di sini, hari ini.

Anwar mendesak komuniti antarabangsa mengambil tindakan lebih berani untuk memaksa Israel mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sehubungan itu, ASEAN-Australia diharap dapat memainkan peranan konstruktif sebagai komuniti antarabangsa dalam mencari penyelesaian damai dan kekal terhadap konflik tersebut.

Januari lalu, ICJ memberi amaran kepada Israel mengenai perbuatannya melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza yang kini sudah mengorbankan lebih 30,000 orang awam.

Terdahulu, Perdana Menteri hadir sesi pleno bertajuk Semakan dan Hala Tuju Masa Hadapan Hubungan Dialog ASEAN-Australia pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di sini.

Anwar turut berkongsi sesi pleno itu menerusi Facebooknya, sebentar tadi.

Jelas Anwar, ketika berucap pada sesi pleno tersebut, beliau menggesa agar penggunaan dan penglibatan perniagaan bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand terutama bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dipercepatkan.

"Perkara lain yang turut diberi tumpuan adalah mempererat hubungan ASEAN-Australia terkait transisi tenaga, pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 dan pembangunan modal insan berkaitan kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Usai ucapan, saya bersama pemimpin ASEAN lain menyertai sesi makan tengah hari anjuran Gabenor Victoria Margaret Gardner AC di Government House, Victoria sebelum sesi permukiman berlangsung," ujarnya.

Tambahnya, keakraban ASEAN-Australia harus diterjemah kepada lebih banyak peluang kerjasama untuk dimanfaatkan rantau ini secara bersama.

SITI AISHAH MD ISA