
KANGAR, 14 Mac – Komponen Simpanan kini menjadi aset strategik Tentera Darat Malaysia dalam menangkis sebarang ancaman hibrid tidak menentu dan dinamik keselamatan global yang kian mencabar.
- Transformasi melangkaui sokongan konvensional dengan mengintegrasi kepakaran profesional sivil sebagai teras Angkatan Masa Hadapan.
- Pakar siber, teknologi, logistik dan perubatan serta mobiliti pantas akar umbi berfungsi sebagai pengganda kekuatan bagi mengekalkan kedaulatan.
- Titah dan kehadiran Raja Muda pada Majlis Berbuka Puasa JAKPAS Negeri Perlis menzahirkan sokongan institusi diraja terhadap inisiatif pertahanan.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, transformasi itu melangkaui sokongan konvensional dengan integrasi kepakaran profesional sivil sebagai teras kepada Angkatan Masa Hadapan.
Menurut baginda ia terdiri daripada pakar siber dan teknologi hingga ke sektor logistik dan perubatan serta mobiliti pantas di peringkat akar umbi akan mampu bertindak sebagai pengganda kekuatan yang kritikal bagi menjamin kedaulatan negara dalam era peperangan moden yang serba kompleks.
Baginda bertitiah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Negeri Perlis Tahun 2026 yang diadakan di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri-puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.