fb fb fb fb fb

Kompleks Ibu Pejabat Maritim Selangor dibina tahun depan

(Saiful Lizan (tengah) menyaksikan serah terima tugas
jawatan Pengarah Maritim Selangor di Klang, hari ini)

KLANG, 18 Mei - Kompleks Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor baharu dijangka bakal dibina di sini, tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata pembinaan meliputi kawasan seluas 20 ekar itu dianggar membabitkan kos keseluruhan antara RM300 hingga RM400 juta.

Menurutnya, cadangan pembinaan kompleks ibu pejabat tersebut telah dibuat beberapa tahun lalu.

"Terdapat beberapa cadangan tapak yang telah kami terima daripada pelbagai pihak dan semuanya sekitar pelabuhan Klang namun ia masih belum diputuskan.

"Diperingkat pelaksanaan kita telah letakkan keutamaan di negeri Selangor ini untuk diadakan ibu pejabat di kawasan Klang.

"Insya-Allah persediaan tahun ini jika boleh berjalan lancar, tahun depan mungkin ada perkembangan yang lebih elok," katanya.

(Saiful Lizan)

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Selangor di Ibu Pejabat Maritim Selangor, di sini hari ini.

Tambah Saiful Lizan, sekiranya dilaksana mengikut perancangan projek tersebut dijangka siap dalam dua hingga dua tahun setengah.

Media Baharu