fb fb fb fb fb

Kompaun sehingga RM30,000 kepada ejen gagal sedia pekerjaan pekerja asing

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani 

PUTRAJAYA, 4 Januari- Syarikat yang membawa masuk pekerja asing dan gagal menyediakan pekerjaan di dalam tempoh sebulan dicadang dikenakan kompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan langkah itu bagi memastikan kouta pekerja asing dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak yang memerlukan buruh asing.

Jelasnya jumlah kompaun yang dikenakan itu juga boleh digunakan semula bagi menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal, yang sebelum ini dibiayai kerajaan.

"Saya nak mencadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing dan datang ke negara kita, kemudian dalam tempoh sebulan tiada kerja. Syarikat itu patut di kompaun.

"Kita dapat banyak laporan mengatakan banyak pekerja asing datang ke negara ini tetapi tiada kerja sedangkan di ladang memerlukan ramai pekerja. Isu ini kita perlu tangani segera kerana ia memberi imej tidak baik kepada negara sedangkan terdapat industri yang memerlukan pekerja asing," katanya.

Johari bercakap pada  sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di kementeriannya di sini, hari ini.

Menurutnya, perkara itu telah dibangkitkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Beliau berkata, kementerian tidak mempunyai punca kuasa untuk memindahkan pekerja asing yang telah di bawa masuk ke industri memerlukan.

"Kementerian Sumber Manusia (KSM) hanya memberi kouta kepada industri yang memohon tetapi jika mereka tidak menyediakan kerja, kementerian tidak boleh memindahkan pekerja asing tersebut," katanya.

Pada Rabu, Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri KSM, Steven Sim Chee Keong mengadakan pertemuan bagi membincangkan usaha menambah baik aspek pengurusan pekerja asing di negara ini, termasuk isu eksploitasi.

ZEHRA BINTI ZAMBRI