KULIM, 6 Ogos - Kira-kira 11 motosikal dikompaun selepas gagal mematuhi Peraturan 4(2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.
Kesemua motosikal tersebut sebelum itu ditahan dalam operasi khas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diarah menjalani ujian bunyi bising di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, operasi itu memfokuskan kepada penguatkuasaan paras bunyi bising maksimum yang dibenarkan bagi kenderaan motosikal.
"Kesemua motosikal terbabit telah diuji JAS Kedah dengan menggunakan meter bunyi bising (Sound Level Meter) dan kesemuanya gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
"11 kompaun bernilai RM300 tiap satu dan 11 Notis Arahan telah dikeluarkan dibawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mengkehendaki kenderaan-kenderaan yang gagal ujian ini untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dan melakukan pemasangan ekzos asal," kata Sharifah Zakiah menerusi kenyataan.
Semua motosikal tersebut juga perlu menjalani ujian semula di JAS Negeri Kedah.
Beliau berharap operasi yang dijalankan dapat mengurangkan masalah berkaitan bunyi bising daripada motosikal yang mengganggu ketenteraman awam.