KUALA LUMPUR, 30 April- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyifatkan komen berkenaan peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah bersifat cadangan semata-mata.
Pada masa sama beliau menegaskan fungsi Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara.
Fungsi jabatan itu adalah untuk memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam ke arah kesejahteraan ummah.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekali lagi ingin memberikan penjelasan bahawa secara keseluruhannya, untuk tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sebanyak RM 1.9 bilion telah diperuntukkan pada tahun 2024.
"Peruntukan tersebut adalah melibatkan kesemua agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk JAKIM, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan lain-lain. Ini adalah komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.
​​Sementara itu bagi agensi-agensi lain seperti Sektor Kemajuan Islam dan Pengurusan Kehakiman dan Perundangan, sebanyak RM374 juta diperuntukkan.
"Usaha ini dilaksana dengan memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan dengan lebih terancang dan berkesan.
"Peruntukan tersebut diperuntukkan secara bersama-sama dengan pemerkasaan Akademi Kehakiman Malaysia," katanya.