fb fb fb fb fb

Kolej Universiti Islam Perlis cakna isu Palestin

KANGAR, 13 Oktober- Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menganjurkan sebuah program Fikrah KUIPs yang membawakan forum bertemakan “Jihad di Palestin”, sebagai tanda cakna kepada Bumi Palestin yang sedang bergolak ketika ini.

Forum yang membincangkan tentang situasi pergolakan di Palestin ini menampilkan tiga orang panel iaitu Mufti Negeri Perlis, Prof. Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Rektor KUIPs, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri.


(Program Fikrah KUIPs yang membawakan forum bertemakan “Jihad di Palestin”)

Dalam perkongsian oleh Muhammad Nadir, beliau menyatakan bahawa sahabat-sahabat beliau di Palestin menyifatkan peperangan dan serangan pada kali ini adalah paling dahsyat dalam sejarah Palestin dan sejarah Gaza sejak Gaza mula dikepung pada tahun 2006.

Forum yang berlangsung di Masjid Alwi, Kangar ini dibanjiri lebih 2,000 orang dari seluruh negeri Perlis dan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook KUIPs yang menunjukkan kesepaduan masyarakat di Malaysia khususnya rakyat negeri Perlis dalam menunjukkan solidariti kepada Palestin.

Turut berkenan berangkat ke forum ini ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Media Baharu