SUNGAI BESI, April- Projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor setakat ini siap lebih 90 peratus kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Kelewatan projek berkenaan disebabkan kegagalan pihak subkontraktor melaksanakan kerja-kerja yang memerlukan kepakaran khusus terutama berkaitan kerja-kerja pemasangan jubin.
Susulan itu, proses untuk melantik subkontraktor baharu sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui proses tender terbuka, bagi meneruskan kerja-kerja tersebut.
"Maka terpaksa cari calon subkontraktor. Kebiasaannya mereka yang pakar dan ada keupayaan dan tak mudah untuk mencari ganti dan proses mencari ganti tu perlulah melalui tender dan sebagainya.
"Maka ia mengambil masa tetapi kita telah mendapat jaminan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Perkara ini memang diberi perhatian yang serius dan klhusus. Diharap ianya dapat dilaksanakan secepat yang mungkin," katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak ke Perumahan Projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Sungai Besi di ibu negara.
Berkenaan papan tanda projek di tapak pembinaan yang dirobohkan, pihaknya tidak mengetahui individu yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut.
Semalam Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan pihak bertanggungjawab yang membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing menjelaskan punca kelewatan pembinaannya.
Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan selain papan tanda projek dirobohkan.
Sementara itu Projek Perumahan SASaR Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sungai Besi dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2025.
Kerja-kerja pembinaan di kawasan itu yang melibatkan 3,500 unit rumah kini mencapai 65.51 peratus setelah dimulakan 21 hari lebih awal daripada jadual.
Projek rintis berkenaan akan disusuli dengan pelaksanaan dua lagi Projek Perumahan SASaR yang keseluruhannya dirancang sebanyak 10,874 unit.
Ia dijangka dapat dimulakan dalam tempoh tiga bulan lagi; melibatkan pembinaan sebanyak 6,400 unit di Kem PULAPOL dan lebih 974 unit di Kem Wardieburn.
"Projek ini merupakan satu 'pilot project' yang dibuat di tiga kawasan, pertama di sini (Sungai Besi), satu lagi di Wardieburn, Kem Wardieburn dan satu lagi ialah di Kem PULAPOL (Pusat Latihan Polis Tentera).
"Tetapi sebagai satu 'pilot project', kita gunakan ini untuk kita melihat kepada pelaksanaan dan melihat kepada kejayaan sebelum kita boleh merancang untuk kita laksanakan di tempat-tempat yang lain di seluruh negara," katanya.
Projek Perumahan SASaR merupakan inisitiatif Kementerian Pertahanan (MinDef) bagi memastikan setiap anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk pekerja awam kementerian itu untuk memiliki rumah sendiri.