PUTRAJAYA, 16 Oktober - Kolaborasi strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui integrasi dua sistem iaitu eBantuanJKM dan iSPEKS (Sistem Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri) berjaya memudahkan proses pembayaran Bantuan Am Negeri kepada 11 negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata berkata reformasi itu bagi memperkemas sistem pembayaran bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang sebelum ini menggunakan baucar manual.
Katanya, langkah itu bagi mengurangkan risiko penyelewengan dan memudahkan pemantauan yang lebih sistematik.
"Dengan adanya sistem ini, proses akan berjalan lebih lancar. Sebelum ini, ada tempat yang lambat menerima bantuan disebabkan masalah sistem, tetapi dengan sistem baharu ini, masalah tersebut dapat diminimumkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kolaborasi Strategik bersama Kerajaan Negeri: Reformasi Penyaluran Bantuan Am Negeri, di sini.
Setakat Ogos 2024, terdapat 543,008 penerima bantuan JKM di seluruh Malaysia, dengan 90,559 daripadanya (16.7 peratus) adalah penerima Bantuan Am Negeri.