fb fb fb fb fb

KM Gagah kembali beroperasi

FOTO RTM

LUMUT, 11 September- Kapal Maritim (KM) Gagah kembali beroperasi mengawasi perairan negara selepas 20 bulan menjalani program senggaraan jentera utama.

Perolehan penggantian jentera (repowering) dan pasang pulih (refit) ke atas kapal peronda pertama dalam kelas 'gagah' itu dijalankan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Resources Sdn Bhd melalui kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan UniML Malaysia Institute of Marine Engineering Technology (UniKL Mimet).

Menurut Pegawai Memerintah KM Gagah, Leftenan Komander Maritim, Arizan Hakimi Mohd Zin, KM Gagah berupaya membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak memperkukuh lagi pengoperasian demi memastikan Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Perak berada dalam keadaan selamat dan terjamin.

"Cabaran yang kita hadapi di maritim negeri Perak ini lebih tertumpu kepada pencerobohan-pencerobohan bot nelayan asing dan juga beberapa isu penyeludupan PATI. Jadi kehadiran KM Gagah di perairan Malaysia dan Perak terutamanya amat penting,"katanya.

Tambahnya, KM Gagah yang siap dibaik pulih telah melalui fasa Harbour Acceptance Trial (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) pada 23 dan 28 Ogos lalu di Selat Melaka dengan keupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu tujuh hari tanpa ulang bekal serta mampu mencapai kelajuan 21.7 knot.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis penyerahan KM Gagah daripada UniKL Resources Sdn Bhd kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak di Limbungan UniKL Mimet di Lumut.

Kerja penyelenggaraan KM Gagah telah bermula Disember 2022 di Limbungan UniKL Mimet Lumut menggunakan tenaga pakar UniKL Mimet selain dipantau Ship Classification Malaysia (SCM) bagi memastikan kerja-kerja dilakukan mengikut piawaian ditetapkan.

KM Gagah yang dibina pada 1980 itu telah memasuki perkhidmatan Pasukan Polis Marin selama 26 tahun sebelum diserahkan kepada Maritim secara berperingkat bermula Jun 2005.

1109 PRK KM GAGAHPegawai Memerintah KM Gagah, Leftenan Komander Maritim, Arizan Hakimi Mohd Zin

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE