KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Klinik kesihatan luar bandar terutama di Padas Damit, Beaufort sedang dipergiat terutama bagi menaik taraf fasiliti daif kementerian berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sebagai satu inisiatif dalam memastikan kesamarataan akses kemudahan kesihatan antara bandar dan luar bandar.
"KKM sememangnya bercadang untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Padas Damit sedia ada dengan membina sebuah blok tambahan baharu. Ini bagi menyediakan ruang rawatan yang lebih luas untuk unit pesakit luar, kesihatan ibu dan anak termasuk sebuah kerusi pergigian untuk penduduk di sana.
"Projek dijangka bermula pada pertengahan tahun 2024. Pada masa ini, Kementerian Kesihatan juga sedang menaik taraf pendawaian elektrik termasuk penggantian komponen elektrik di Klinik Kesihatan Padas Damit. Kerja-kerja pendawaian dijangka selesai pada hujung tahun ini," katanya ketika menjawab pertanyaan wakil Sipitang, Datuk Matbali Musah di Dewan Rakyat, di sini.
Dalam perkembangan lain, KKM memberi jaminan untuk membina klinik-klinik baru yang dirobohkan berikutan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
Perkara itu bagi memastikan penduduk dapat menikmati akses kemudahan kesihatan secara berterusan.
Dalam dewan sama sesi libat urus antara KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan dilaksana bagi membincangkan isu perjawatan dan elaun pegawai perubatan yang berkhidmat dalam sektor kesihatan.
Lukanisman berkata perbincangan juga terarah kepada membela nasib pegawai lain dalam sektor terlibat.
Kementerian menyatakan komitmen memastikan setiap inisiatif bakal membuahkan hasil bagi memastikan setiap pegawai sektor kesihatan dibela.
"Selain daripada pegawai perubatan, kami juga turut menerima aduan dan keluhan rakan-rakan seperti juru audiologi, radiologi, jururrawat dan pembantu pegawai perubatan yang ingin elaun bersesuaian.
"Saya berharap pihak berkepentingan dengan komitmen JPA akan membuahkan hasil. Tidak lama lagi akan adakan sesi high level committee pada minggu ini untuk membincangkan isu pertambahan jawatan tetap, kontrak dan bersekali dengan isu tentang elaun," katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.
(Lukanisman Awang Sauni)