SELANGOR, 20 Mac- KL FM dan Radio Klasik dengan kerjasama Glenmarie Hotel & Golf Resort meraikan 20 orang pelajar Maahad Tahfiz Sentral Ulama, Pantai Dalam dalam majlis berbuka puasa sempena Ramadan.
Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop berkata majlis itu menjadi platform untuk berkongsi keindahan Ramadan bersama-sama insan yang memerlukan dalam menyambut ketibaan syawal.
"Tujuan kita sebagai stesen radio dan juga terutamanya KL FM dan juga Radio Klasik ialah untuk menyantuni anak yatim, asnaf.
"Kali ini KL FM dan juga Radio Klasik menyantuni Maahad Tahfiz Sentral Ulama, Pantai Dalam dan kita melaksanakan kerjasama ini dengan Glenmarie Hotel & Golf Resort supaya ada CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) ataupun ada satu hubungan yang baik antara syarikat korporat dan juga rakyat," katanya kepada pemberita di sini.
Pada majlis itu juga KL FM dan Radio Klasik berkolaborasi menerbitkan program Raya KL Klasik yang akan disiarkan pada Syawal nanti.
Antara artis yang terlibat menjayakan Program Raya KL Klasik ialah Ara Johari, Haqiem Rusli, Datuk Aishah dan Ezad Lazim.
Turut membuat persembahan ialah penyampai KL FM dan Radio Klasik, antaranya Ashila Ashura, Epy Shafik, Ady Suwardy dan Azura Pedora.