BUKIT KAYU HITAM, 3 Mei — Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang merangka mekanisme terbaik bagi menyelesaikan isu berkaitan Projek Lebuhraya MEX 2 yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang masih gagal disiapkan sehingga kini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bersama pihak berkepentingan, termasuk pemaju projek, bagi membincangkan hala tuju dan langkah penyelesaian projek berkenaan.
“Setakat ini, saya tidak mahu ulas terlalu spesifik kerana ia masih dalam proses penyelesaian. Saya difahamkan dalam beberapa hari ini akan ada mesyuarat penting bagi menentukan tindakan yang perlu diputuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan laluan baharu yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand, di sini.
Menurut beliau, projek itu diakui menghadapi masalah untuk disiapkan, namun pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.
Pihak pemaju juga sedang berusaha mendapatkan sumber kewangan tambahan bagi meneruskan pembinaan lebuh raya tersebut.
Projek Lebuhraya MEX 2 sepanjang 18 kilometer itu dimulakan pada tahun 2016 dan dijadualkan siap pada 2019. Namun, pembinaannya tergendala apabila pihak pemaju menghadapi masalah kewangan.