fb fb fb fb fb

KKR laksana 559 projek KDN bernilai RM5.6 bilion

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan/ BERNAMA

KLUANG, 8 Disember- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melaksanakan 559 projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat November lalu, melibatkan kos sebanyak RM5.6 bilion.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, 39 projek sedang dalam fasa prapembinaan bernilai RM2.33 bilion.

“Sebanyak 41 projek bernilai RM3.023 bilion dalam fasa pembinaan dan 479 projek lagi melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan projek pelan pemulihan, ubah suai, naik taraf aset (PPUN) bernilai RM280.784 juta,” katanya.

Antara projek terbabit, pembangunan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) di Penjara Simpang Renggam, Kluang dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, menelan kos sebanyak RM23.1 juta.

Ia melibatkan penggunaan teknologi canggih, mengintegrasi sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV), dengan kawalan akses, penggera keselamatan dan pemantauan berpusat.

"Saya kira ia satu yang tepat, katakanlah ada seorang banduan membuat hal, kalau secara fizikal dia mungkin tidak mengaku, tetapi kalau secara elektronik kita boleh nampak dia yang memulakan pergaduhan", katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap Pembangunan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) bagi Penjara Simpang Renggam dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar.

SKEB memasang 758 CCTV di Penjara Simpang Renggam dan 106 CCTV di PPA Muar.

Ketika ini, sembilan daripada 18 projek SKEB di seluruh negara telah siap, manakala baki sembilan projek lagi, sedang dibina dan dijangka siap pada Mei 2025.

 

ROSLINA BINTI DIN