fb fb fb fb fb

KKR, JKR teliti cadangan model jajaran ‘Redline' Sarawak - Alexander

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mempengerusikan mesyuarat bersama JKR Sarawak di Kuching semalam

KUCHING, 9 April - Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan kerja Raya, (JKR) Sarawak sedang meneliti semua cadangan model penyelesaian jajaran ’redline’ di Sarawak, sebelum diputuskan di peringkat Persekutuan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mempengerusikan mesyuarat bersama JKR Sarawak berkata, semua jajaran 'redline' yang melibatkan jalan persekutuan dan jalan negeri di Sarawak akan direka bentuk semula dan dinaik taraf agar mengikut standard Projek Lebuh Raya Pan Borneo.

"Jajaran sepanjang 136.7 kilometer dan tidak terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan kini berada dalam keadaan yang daif, kerana sewaktu dibina dahulu, ia tidak menyamai standard ditetapkan di bawah pembinaan baharu lebuh raya itu.

"Naik taraf dan pemulihan segera jajaran redline ini dijangka mengoptimumkan daya sumber Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak namun ia perlu bagi menjamin kelancaran, keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan lebuh raya di negeri ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Di Sarawak, jajaran ‘redline’ membawa maksud laluan asal sedia ada sebelum pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan ia melibatkan kawasan Kuching, Serian, Sibu, Bintulu, Julau dan Miri.

Beliau berkata model penyelesaian perkara tersebut telah dibincangkan pada satu mesyuarat antara KKR dan pasukan JKR Sarawak di Kuching, semalam.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengarah JKR Sarawak, Datu Richard Tajan .

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit memberitahu status terkini peratus penyiapan LPB Sarawak Fasa 1 secara keseluruhan adalah 99 peratus.

Ia dijangka akan dibuka sepenuhnya pada suku kedua tahun ini, kecuali Seksyen Lambir iaitu (WPC 11) di Miri yang perlu direkabentuk semula dengan jangkaan siap pada tahun 2026.

GRACE AISYAH KEDAYAN