fb fb fb fb fb

KKR cadang CLAB urus pekerja asing dalam sektor pembinaan

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 5 Mac- Kementerian Kerja Raya (KKR) mencadangkan semua pekerja asing dalam sektor pembinaan diuruskan oleh Pusat Pertukaran Pekerja Binaan Bhd (CLAB).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata langkah itu bagi memastikan segala urusan dapat dilaksanakan secara bersepadu oleh satu agensi.

"Segala urusan daripada temu duga di negara sumber, penyediaan tempat tinggal, pemantauan gaji dan segala kebajikan pekerja diambil kira."

"Maka, KSN dan KDN hanya berurusan dengan CLAB. Tidak perlu perlu berurusan dengan ramai pihak-pihak," kata Ahmad kepada pemberita selepas Sambutan ulang tahun ke-20 CLAB di ibu negara, pada Isnin.

Tambahnya, Malaysia mempunyai lebih kurang 600,000 pekerja binaan asing melebihi keperluan industri, sekitar 500,000 orang.

Justeru, pengurusan daripada satu agensi mampu mengawal lambakan pekerja asing dalam negara.

Ketika ini, CLAB sebagai sebuah organisasi di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bertanggungjawab menguruskan pertukaran pekerja daripada majikan lama kepada majikan baharu di sektor lain.

Pihaknya juga sedang berusaha untuk penyediaan Pusat Penginapan Pekerja Berpusat di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM