fb fb fb fb fb

KKR arah siasatan lengkap kejadian banjir, kesesakan di laluan LPB Sarawak

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 23 Jun - Kementerian Kerja Raya telah mengarahkan agar siasatan lengkap dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kejadian banjir di Kilometer 23 Jalan Betong-Sri Aman dan di Jakar Sarikei bagi laluan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya mengambil serius pemasalahan berkenaan dan siasatan mendalam oleh pihak Jabatan Kerja Raya perlu dilakukan agar penyelesaian terbaik dapat diambil.

Jelasnya, langkah meningkatkan aras jalan merupakan antara pendekatan yang boleh diambil. Namun punca sebenar kejadian banjir di Kilometer 23 Jalan Betong-Sri Aman perlu dikenal pasti agar kejadian sama tidak berulang.

Tambahnya, semasa proses reka bentuk Lebuhraya Pan Borneo, kejadian banjir dilokasi tersebut telah diambil kira dengan tiada kejadian banjir dilaporkan pada ketika itu.

Kejadian hujan lebat berterusan atau punca lain, antara penyebab yang perlu diselidik agar jalan penyelesaian terbaik dapat dilakukan.

Pada 26 Mei lalu, laluan berhampiran Kawasan Tebarong telah dinaiki air, selepas paras air Sungai Skrang naik mendadak sekitar pukul 8.00 pagi.

Manakala, pada sambutan Hari Gawai baru-baru ini, laluan LPB di Jakar mengalami kesesakan teruk sepanjang kira-kira 10 kilometer.

Beliau ditemui media selepas menerima kunjungan Premier dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang pada Majlis Rumah Terbuka Gawai di Kuching. 

Sementara itu, pembinaan persimpangan bertingkat di Batu 8 Jalan Penrissen Kuching akan diberi keutamaan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan.

“Perkara itu telah diusulkan kepada Premier semasa kunjungan hormat ke atas beliau dua minggu lepas, Premier telah bersetuju dan mengarahkan kita (kementerian) memberikan tumpuan kepada masalah tersebut.

“Apa-apa pun kita tunggu surat rasmi daripada kerajaan negeri terlebih dahulu, kemudian disusuli dengan kerja awalan mungkin pada penghujung tahun ini sebelum memulakan projek pembinaan pada tahun hadapan,” katanya.

Pembinaan persimpangan bertingkat Batu Lapan itu dijadual mengambil masa tiga tahun, melibatkan kos lebih RM400 juta.

ROSLINA BINTI DIN