KUALA LUMPUR, 5 November – Bilik Gerakan Bencana (BigBen) Kementerian Kerja Raya (KKR) kini diaktifkan sebagai langkah persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata BigBen itu berfungsi untuk memantau keadaan serta menyelaras kesiapsiagaan pasukan, khususnya di peringkat daerah.
"KKR telah menyediakan BigBen dengan sistem dan peralatan yang lengkap bagi membantu pemantauan banjir serta menggerakkan pasukan-pasukan di peringkat daerah. Sistem ini kini sudah diaktifkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia kali ke-12 dan Kongres Jalan Asia Pasifik, Persekutuan Jalan Sedunia kali ke-5 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Terdahulu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan Monsun Timur Laut dijangka bermula hari ini dan akan berlanjutan sehingga Mac tahun depan.