KUALA LUMPUR, 14 Mac - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus berusaha mengekang bilangan ‘first smoke’ atau pendedahan rokok terawal dalam kalangan pelajar sekolah melalui penguatkuasaan undang-undang.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata bagi mengekang perkara itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah antaranya memperketat larangan penjualan produk merokok kepada golongan Orang Bawah Umur (OBD) di bawah Seksyen 13, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang baru diwartakan pada 2 Februari 2024.
Selain itu, kerajaan turut bertindak memperkukuh undang-undang terhadap larangan pengiklanan dan penjualan produk merokok termasuk produk merokok tiruan menyerupai mainan kanak-kanak melalui Akta 852.
“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berjaya memberi latihan kepada 141 guru kaunseling dan guru Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) untuk mengendalikan pelajar-pelajar yang terlibat dengan tabiat merokok.
“Bagi tahun 2023 juga, KKM telah berjaya melaksanakan sekurang-kurangnya 86 aktiviti promosi dan advokasi pencegahan merokok bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), IKRAM Health dan Yayasan Sukarelawan Siswa", kata Lukanisman ketika menjawab soalan dibangkitkan wakil Kapar Dr Halimah Ali yang meminta sejauh manakah kejayaan Kementerian mengurangkan kebergantungan remaja atau pelajar kepada rokok termasuk vape; dan sejauh manakah industri rokok menghalang hasrat Kerajaan meminimumkan first smoke atau pendedahan rokok terawal di kalangan pelajar sekolah di sini hari ini