
KUALA LUMPUR 12 Mac – Kementerian Kesihatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli dalam kalangan petugas kesihatan, khususnya melibatkan pegawai perubatan siswazah yang menjalani latihan (housemanship).
- Tindakan tegas diambil termasuk pemecatan ketua jabatan selepas siasatan menemui salah laku terhadap pegawai bawahan.
- Pengarah hospital, ketua jabatan dan pengarah JKN bertanggungjawab mewujudkan budaya kerja adil, harmoni serta persekitaran profesional dan bermaruah.
- Kes dakwaan buli dan kematian doktor masih disiasat PDRM serta siasatan dalaman; jawatankuasa bebas mungkin ditubuhkan bagi ketelusan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan tegas telah diambil sebelum ini termasuk memecat seorang ketua jabatan di sebuah hospital besar selepas siasatan mendapati wujud unsur salah laku terhadap pegawai bawahan.
Beliau menegaskan setiap warga kementerian berhak bekerja dalam persekitaran yang profesional, selamat dan bermaruah.
Menurutnya, pengarah hospital, ketua jabatan serta pengarah Jabatan Kesihatan Negeri bertanggungjawab memastikan budaya kerja yang adil dan harmoni diwujudkan di setiap fasiliti kesihatan.
“Setiap aduan mesti disiasat segera tanpa kompromi atau melindungi mana-mana individu. Tiada lagi toleransi terhadap maki hamun, bahasa kasar atau penghinaan secara terbuka di tempat kerja,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda yang membangkitkan kebimbangan mengenai tekanan kerja dan dakwaan budaya buli sepanjang tempoh housemanship, termasuk dikaitkan dengan kes kematian seorang doktor pelatih di Kelantan.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata kes tersebut kini masih dalam siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain siasatan dalaman kementerian.
Katanya, kerajaan juga tidak menolak kemungkinan penubuhan jawatankuasa bebas sekiranya perlu bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.
“Untuk membuat sebarang kesimpulan, kita perlu mendapatkan gambaran menyeluruh atau maklumat 360 darjah mengenai kes ini,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan kegagalan mengambil tindakan terhadap aduan buli adalah satu kegagalan institusi dan perkara itu tidak akan dibenarkan berlaku dalam sistem kesihatan negara.