KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti dan bersedia meminda perundangan sedia ada bagi mengekang salah laku yang menggunakan kesihatan mental dalam sistem keadilan.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun ia masih terlalu awal untuk membuat keputusan dan perkara itu perlu diperhalusi secara menyeluruh .
"Saya kira ini suatu kebejatan, insiden yang mungkin juga menjadi lebih acap dan kerap dan hakikat bahawa salah laku atau salah guna atau penyalahgunaan sedemikian pastinya memerlukan kita untuk meneliti.
"Dan saya melihat ini sebagai isu teknikal lebih-lebih lagi ia melibatkan perkara yang terkait dengan prosedur, kita boleh pertimbangkan," Dzulkefly bercakap dalam sidang media Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024, di sini.
Dzulkefly mengulas kebimbangan orang ramai mengenai individu yang melakukan jenayah menggunakan kesihatan mental sebagai tiket terlepas undang-undang jenayah yang mungkin menjurus kepada tiada pembelaan terhadap mangsa dan keluarga.
Ia susulan insiden tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun Terengganu yang maut akibat dirempuh kereta yang dipandu seorang pemandu wanita baru-baru ini menyentuh hati ramai pihak.
Terdahulu majlis perasmian MIH Megatrends 2024 telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.