fb fb fb fb fb

KKM sasar 1.5 juta saringan kesihatan tahun ini

Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 19 November- Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sebanyak 1.5 juta saringan kesihatan akan dilaksanakan hingga hujung tahun ini.

Tegas Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa, ia penting dalam menyediakan penjagaan kesihatan awal dan pencegahan penyakit dalam kalangan masyarakat.

"Pengesanan awal penyakit mampu mencegah lebih banyak komplikasi daripada berlaku.

"Ia bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan diri, malah ekonomi dan keluarga.

"Pengesanan itu penting, kita memang menggalakkan saringan kesihatan tersebut," kata Zaliha kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir di sini.

Sementara itu, Zaliha berkata aktiviti 'Touch Point' antara yang dijalankan KKM menerusi program tersebut.

Ia memberi fokus kepada aktiviti saringan kesihatan dengan bergerak dari rumah ke rumah.

Seramai 105 jururawat ditugaskan bagi membantu menjayakan program tersebut.

Selain aktiviti berkenaan, program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukan, pertandingan mewarna, Jualan Rahmah serta pameran daripada 39 agensi kerajaan dan swasta.

Pengunjung juga turut didedahkan dengan program dan inisiatif di bawah kementerian tersebut yang mampu memberi manfaat kepada mereka.

"Kita dapat mengetahui maklumat mengenai kesihatan. Seperti mySalam dan program lain-lain. Kita dapat info baharu," kata penjawat awam, Md Zaidi Khalid.

"Program ini menyeronokkan. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini bersama rakan-rakan seperti memanah," kata pelajar, Siti Nurbalqis.

"Banyak aktiviti di sini, pelbagai perkara baharu boleh dipelajari," kata pelajar, Nur Aina Syauqina Rasidi.

Program berlangsung dari pukul 7.00 pagi hingga 2.00 petang tadi .

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM