fb fb fb fb fb

KKM sahkan satu kes baharu mpox dikesan di Malaysia

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 17 September- Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan satu kes cacar monyet atau mpox baharu telah dikesan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi satu kenyataan, memberitahu kes tersebut telah disahkan mpox clade II pada 16 September 2024 (semalam).

"Daripada 58 kes disyaki mpox yang telah dirujuk kepada KKM sepanjang tahun ini, satu kes telah disahkan positif mpox clade II pada 16 September 2024.

"Dengan itu juga, semua 10 kes di Malaysia sejak 26 Julai 2023 sehingga kini adalah daripada clade II sahaja,"menurut kenyataan tersebut.

Jelas Dr. Muhammad Radzi, pesakit tersebut merupakan seorang lelaki warganegara yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak, dan batuk pada 11 September, manakala ruam mula muncul pada 12 September.

"Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi, dan berada dalam keadaan yang stabil.

"Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat.

Terdahulu katanya mpox telah diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern - PHEIC) buat kali kedua pada 14 Ogos 2024 berikutan penularan clade Ib virus ini yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara-negara jiran di rantau Afrika.

Susulan itu, KKM katanya telah mengaktifkan Bilik Gerakan mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan pada 16 Ogos 2024. CPRC Kebangsaan terus memantau situasi mpox serta menyelaraskan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon yang berkenaan.

Tambah Dr. Muhammad Radzi, bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan membolehkan orang ramai memainkan
peranan dengan meningkatkan kawalan kesihatan kendiri, KKM meneruskan hebahan kepada orang ramai melalui pelbagai saluran media massa dan media sosial.

"Individu berisiko tinggi yang bergejala mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam/lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.

"Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual.

"Mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitiser),"menurut kenyataan tersebut.

Bagi pengamal perubatan di barisan hadapan, mereka turut dinasihatkan terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

"Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.

"Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan,"kata Dr. Muhammad Radzi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE