fb fb fb fb fb

KKM perlu teliti keperluan secara menyeluruh -Sultan Selangor

KUALA SELANGOR, 10 Februari- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) melihat keperluan fasiliti kesihatan di negeri berkenaan secara menyeluruh khususnya di hospital.

Titah Baginda, dengan jumlah penduduk negeri melebihi tujuh juta orang dan merupakan paling ramai di Malaysia, ia semestinya memerlukan fasiliti kesihatan yang banyak di merata tempat serta mempunyai kemudahan peralatan terkini.

"Beta berkenan supaya perkhidmatan kesihatan yang diberikan di hospital perlulah mempunyai sistem pengurusan yang baik dan dikelolakan dengan cekap supaya ianya dapat menambah kapasiti perkhidmatan kesihatan di negeri Selangor," demikian titah baginda di sini.

Titah baginda lagi, perkara tersebut juga menjurus kepada penyelenggaraan hospital supaya peralatan dan infrastruktur sentiasa dalam keadaan baik untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat.

Baginda berkenan merasmikan Hospital Tanjong Karang yang baharu dan diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan siap terbinanya Hospital Tanjong Karang baharu itu yang telah memulakan operasinya pada 10 Oktober 2022.

(Sultan Sharafuddin Idris Shah)

Media Baharu