KKM perkukuh kawalan keselamatan makanan, sasar kurang 50 kes menjelang 2030

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/Foto BERNAMA

KUALA SELANGOR, 21 Februari – Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh kawalan keselamatan makanan di semua peringkat dengan sasaran kadar keracunan makanan kurang 50 kes bagi setiap 100,000 populasi menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhan kawalan keselamatan makanan melibatkan industri, premis awam dan institusi pendidikan di seluruh negara.
  • Peningkatan pemantauan bazar Ramadan dengan lebih 200 sesi taklimat dan kerjasama JKN serta pihak berkuasa tempatan.
  • Pemeriksaan dijalankan ke atas kilang ais, restoran dan hotel; peniaga diingatkan patuhi Akta Makanan 1983.

Sasaran itu melibatkan industri makanan, premis awam dan institusi pendidikan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pemantauan keselamatan dan kebersihan bazar Ramadan turut dipertingkat sejak awal bulan ini dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) serta pihak berkuasa tempatan.

“Sehingga kini, lebih 200 sesi taklimat kebersihan dan pengendalian makanan selamat telah dianjurkan melibatkan 77,583 pemilik gerai di 1,274 tapak bazar Ramadan di seluruh negara.

“Sebanyak 426 pemeriksaan turut dijalankan terhadap kilang ais, restoran dan hotel termasuk premis yang menyediakan bufet berbuka puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan 2026 di Bazar Ramadan Kuala Selangor hari ini.

Dalam tempoh dua hari berpuasa, hanya satu aduan direkodkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) melibatkan kebersihan premis perniagaan di bazar Ramadan.

Datuk Seri Dzulkefly turut mengingatkan peniaga supaya memastikan makanan yang dijual bersih, berkualiti dan selamat dimakan selain mematuhi Akta Makanan 1983.