KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti berkaitan isu tenaga kerja, termasuk masalah syif doktor bertugas lebih masa selepas waktu pejabat (on-call) yang melebihi 30 jam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun isu berkenaan tidak berlaku secara meluas di semua tempat, namun kementeriannya akan mengenal pasti kekurangan yang wujud dalam sistem tenaga kerja.
"Syif doktor bertugas lebih masa selepas waktu pejabat bukanlah berlaku secara meluas di semua tempat tetapi kita perlu memahami jurang dan kekurangannya," katanya.
Jelasnya, isu tersebut perlu diperhalusi demi memastikan tenaga kerja kesihatan berfungsi dengan optimum tanpa menjejaskan kesejahteraan mereka.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Bencana Bersempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional Peringkat KKM Tahun 2024 dan Pelancaran 5 Garis Panduan di sini hari ini.