fb fb fb fb fb

KKM pandang serius isu pencemaran makanan di bazar Ramadan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius mengenai pencemaran makanan yang dilakukan peniaga martabak di bazar Ramadan berikutan tular cebisan kain pengelap dalam makanan itu.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan siasatan lanjut mendapati berlaku kecuaian semasa pengendalian makanan berkenaan.

"Justeru, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap gerai yang menjual makanan tersebut dengan mengeluarkan satu (1) notis kompaun bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009," kata kenyataan itu.

Pada masa sama KKM sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara.

KKM turut mengingatkan peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun sekiranya pembeli mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh terus menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI