SERDANG, 17 Mei - Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mengenal pasti lokasi yang mengalami suhu tinggi di seluruh negara.
Ini bagi tujuan kesiapsiagaan daripada aspek perkhidmatan kesihatan.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun sekali lagi menegaskan bahawa status sistem kesihatan negara yang ketika ini berhadapan dengan cuaca panas berada dalam keadaan terkawal.

“Pemantauan kami terhadap cuaca panas semasa adalah berterusan dan kami di kementerian telah berhubung dengan Jabatan Kesihatan negeri untuk memastikan kemudahan penjagaan kesihatan seperti hospital awam disediakan untuk sebarang kemasukan pesakit yang menunjukkan gejala berkaitan haba," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka hari raya kementeriannya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai gejala strok haba agar segera mendapatkan rawatan bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang lain.
Sementara itu, berhubung kes jangkitan COVID-19, Dr Zaliha berkata situasi kini masih dalam keadaan terkawal meskipun terdapat daerah yang diisytihar sebagai zon merah iaitu di Tuaran, Sabah.
Katanya, peningkatan kes di daerah berkenaan susulan penggunaan kod kriteria pemantauan lama terhadap zon tersebut.
“Kes di Tuaran kita tidak perlu panik secara keseluruhan di Sabah antara kes yang jumlahnya kurang 100 setiap minggu dan ia dikira berdasarkan kod pemantauan yang lama. Kalau kita tengok kes satu dan dua kes sahaja,” katanya.