KUALA LUMPUR, 23 Februari- Tuntutan elaun lokum bagi pegawai perubatan yang diarahkan bertugas pada hari Sabtu dan hari kelepasan am telah diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bayaran elaun tersebut akan dibuat dalam masa terdekat.
"Timbul isu tentang bayaran elaun untuk doktor yang membuat lokum. (Jadi) kami telah memohon dan baru sahaja mendapat kelulusan untuk doktor-doktor yang membuat lokum (supaya) dibayar elaun mereka untuk empat jam yang mereka lakukan. Ini satu berita baik.
"(Bayaran elaun) masih sama, RM80 sejam dan kami sedang melakukan pembayaran itu. Ia akan dibayar secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKM dan IHH Healthcare di sini.
Terdahulu, KKM melaksanakan projek rintis pemanjangan waktu operasi klinik berdekatan hospital pada tahun lalu selepas mengambil kira isu kesesakan di hospital.
Projek rintis tersebut dilaksanakan bermula 25 Mac hingga 31 Disember tahun lalu.
Antara klinik terlibat adalah Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang; Klinik Kesihatan Taman Ehsan dan Klinik Kesihatan Ampang.