KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima kelulusan untuk melanjutkan tempoh interim pengecualian pelaksanaan Waktu Bekerja Syif selama tiga bulan, bermula 1 Mac hingga 31 Mei 2025.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata langkah itu bertujuan memberi ruang kepada penyesuaian pelaksanaan Waktu Bekerja Syif, yang perlu dipatuhi mengikut peraturan semasa mulai 1 Jun ini.
“Beban tugas berlaku apabila anggota melaksanakan tugas melebihi kapasiti daripada ketetapan deskripsi tugas mereka. KKM sangat memahami cabaran yang dihadapi jururawat, di mana mereka telah menjalankan tugas lebih daripada 45 jam seminggu tanpa mengambil kira waktu rehat dan ‘passing over’,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.
Tegas Lukanisman, pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu tidak akan menambah beban tugas sedia ada, sebaliknya akan diselaraskan dengan ketetapan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi mencapai penyelesaian terbaik.
Langkah tersebut merupakan inisiatif KKM dalam menangani cabaran pengurusan masa kerja, sekali gus memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan terus terjaga tanpa mengabaikan kesejahteraan anggota kesihatan.