fb fb fb fb fb

KKM kaji agihan tidak seimbang pegawai perubatan

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang melaksanakan kajian terhadap pengagihan tidak seimbang pegawai perubatan di seluruh negara, khususnya melibatkan penempatan di fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Timbalan berkenaan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata sebanyak 650 jawatan tetap telah ditawarkan di kedua-dua negeri berkenaan, namun hampir 600 pegawai perubatan telah mengemukakan rayuan untuk keluar daripada penugasan tersebut.

"Hanya tujuh pegawai perubatan sahaja yang mengesahkan penerimaan penempatan tetap tersebut.

"Maka, bagaimana kita mahu memberi hak dan perkhidmatan kesihatan yang adil kepada rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya

"Adakah wajar kesemua pegawai perubatan hanya ditempatkan di Lembah Klang atau di bandar-bandar utama sahaja?” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

"Kita sedang mencari kaedah terbaik untuk menambah baik penawaran jawatan tetap kepada pegawai perubatan yang layak, dengan mengambil kira keperluan di lapangan serta hak rakyat mendapatkan akses kesihatan berkualiti," tambahnya.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI