fb fb fb fb fb

KKM diberi masa 2 bulan jawab surat 5 syor PAC mengenai Pengurusan Wabak COVID-19

Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR, 2 November- Susulan pembentangan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), berhubung Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan PPE di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kementerian Kesihatan Malaysia diberi tempoh dua bulan untuk menjawab surat berkenaan lima syor PAC berhubung isu tersebut.

Dalam sidang media di Parlimen, Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menjelaskan sebaik sahaja prosiding maklum balas dilakukan, Laporan Tindakan Susulan yang mengandungi maklum balas KKM itu akan dibentangkan di Parlimen.

"Di dalam setiap isu yang disiasat PAC, dua laporan akan dihasilkan iaitu, pertama laporan PAC dimana PAC akan memberikan rumusan dan syor terhadap isu berkenaan. Selepas itu, PAC akan membentangkan laporan kedua iaitu laporan PAC berhubung maklum balas kementerian terhadap syor PAC.

"Kedua-dua laporan ini, akan melalui lima mesyuarat sebelum ia dapat dihasilkan dan dibentangkan di Parlimen dan ia menunjukkan betapa PAC komited untuk rakyat mengetahui apa yang dilakukan kerajaan terhadap segala rumusan dan syor yang telah dibuat PAC.

Datuk Mas Ermieyati juga menegaskan, laporan yang konsensus adalah bukti bahawa PAC merupakan sebuah jawatankuasa 'non partisan'.

Malah, kesemua 14 ahlinya tidak membawa ideologi parti politik masing-masing semasa bermesyuarat serta memberi keutamaan untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan secara berhemah, demi kepentingan rakyat dan negara.

ROSLINA BINTI DIN