fb fb fb fb fb

KKM cadang pindaan Akta 50 berkenaan program Parallel Pathway disegerakan

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 April- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 mengenai program Parallel Pathway.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan, ia bagi membolehkan pelatih yang menyelesaikan program itu dengan jayanya, mendaftar sebagai pakar di bawah akta berkenaan.

Beliau berkata langkah itu bagi menyelesaikan masalah kekurangan pakar perubatan yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan di negara ini.

"Ia tertakluk kepada keputusan lanjut Jemaah Menteri bagi cadangan pindaan Akta 50", katanya.

"KKM akan mengangkat cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 Jun ini, bagi penguatkuasaan secepat mungkin.

Beliau turut meminta agar semua pihak memberikan kerjasama penuh demi kepentingan semua pihak berkepentingan, terutamanya pelatih program Parallel Pathway.

KKM memberi jaminan terhadap kecekapan dan keberkesanan penyampaian sektor kesihatan awam kepada masyarakat dapat terus ditingkatkan di bawah gagasan Malaysia MADANI.

Sementara menunggu keputusan Jemaah Menteri mengenai akta itu, KKM akan memperkasakan latihan kepakaran melalui program sarjana di negara ini agar program pembangunan kapasiti tempatan kian unggul.

Tambahnya lagi, persetujuan bersama telah dicapai dalam satu perbincangan dengan Duta Besar Ireland ke Malaysia Orla Tunney dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia David Wallace agar kerjasama yang sedia terjalin antara KKM serta institusi terlibat diteruskan dan diperkukuh.

ROSLINA BINTI DIN