fb fb fb fb fb

KKM akan lancar sekatan pengambilan gula

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA, 16 Mei- Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan sekatan terhadap pengambilan gula secara berlebihan tidak lama lagi.

Perkara itu bertujuan mencegah peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia yang dilihat semakin membimbangkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beberapa langkah perlu diambil walaupun terdapat laporan penurunan NCD seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol sejak tahun 2019.

"Seterusnya kempen advokasi mengurangkan pengambilan gula secara besar-besaran akan dilaksanakan melalui inisiatif war on sugar.

"Ini respons kita terhadap berat badan dan obesiti, ini merupakan beberapa perkara yang saya sebutkan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan hasil penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Penjagaan Kesihatan dan GATS 2023 di sini.

Tegasnya, prevalens data rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan dan obes semakin meningkat.

Namun demikian, prevalens diabetes direkod menurun sebanyak 2.7 peratus antara 2019 hingga 2023 manakala hipertensi menurun sebanyak 0.8 peratus dan kolesterol menurun 4.8 peratus dalam tempoh sama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI