KUCHING, 3 November- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited untuk segera menyelesaikan 24 projek yang tertangguh di negeri itu sejak 2016 hingga 2022.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keseluruhan projek tersebut dianggarkan menelan kos kira-kira RM1.4 bilion.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan bahawa projek tersebut turut melibatkan usaha membaik pulih jalan-jalan Jiwa Murni dan jalan balak yang telah rosak.
Menurutnya, projek jalan balak dengan kos RM85 juta dijangka siap pada tahun ini.
"Apa yang telah kami putuskan ialah para pemegang taruh (stakeholders) mesti diberi keutamaan.
"Ini kerana hubungan Pan Borneo dengan pekan-pekan kecil dan bandar memerlukan jaringan jalan yang dapat memudahkan kesalinghubungan," katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan di sini hari ini.
Beliau juga memberi komitmen untuk menyelesaikan projek-projek tertangguh tersebut sebelum pelancaran Rancangan Malaysia Ke-13.
Katanya, taklimat bersama kerajaan Sarawak itu turut membincangkan pelaksanaan projek-projek KKDW yang meliputi infrastruktur luar bandar, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik, dan laluan perhubungan desa.
Taklimat tersebut juga merangkumi perbincangan mengenai projek-projek di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Taklimat itu diadakan bersempena lawatan kerja rasmi Ahmad Zahid ke Sarawak yang bermula semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan terus diterapkan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada tahun hadapan.
Ahmad Zahid berkata formula yang sama akan digunakan, termasuk kerjasama dengan parti-parti gabungan lain.
Beliau menegaskan bahawa sebarang perbezaan pendapat dalam kalangan ahli PH dan BN hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian parti.
"Ini kerana kerjasama antara PH dan BN menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan dan sewajarnya diteruskan.
"Selagi ketua-ketua parti gabungan tidak mengeluarkan kenyataan rasmi, pendapat-pendapat lain itu adalah pandangan individu dan bukan keputusan parti. Isu ini telah diselesaikan di peringkat parti masing-masing," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semalam menyatakan bahawa kerjasama antara PH dan BN wajar diteruskan pada pilihan raya akan datang demi memastikan kestabilan politik yang dinikmati negara ketika ini.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN menyatakan bahawa pihaknya tidak akan menutup pintu rundingan dengan gabungan parti lain yang ingin bekerjasama.
Tambah beliau, persetujuan mengenai penggunaan logo juga telah dicapai, dan ia akan mengelakkan pertindihan pada pilihan raya nanti.