KULIM, 1 April- Sebuah kilang sarung tangan getah terbakar dalam kebakaran di Jalan Padang Meha, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.27 malam.
Katanya, seramai 38 orang anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech,Kulim dan Tasek Gelugur serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) ke lokasi kebakaran bagi proses pemadaman.
“Sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang sarung tangan getah dengan anggaran kemusnahan kira-kira 40 peratus.
“Operasi memadam kebakaran menggunakan empat aliran tujuh pancutan dari dua jentera dilakukan dengan dibantu PBS berdekatan,” katanya di sini hari ini.
Wan Mohd Hamizi berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.30 malam tadi.
Ujarnya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan nilai kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan.