KULAI, 2 Ogos – Pembukaan kilang inisiatif Kerajaan MADANI bertaraf antarabangsa di Johor menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya di kawasan berpotensi seperti Kulai dan Senai.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa sektor perindustrian tempatan, malah membuka limpahan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia dan graduan baharu. Kesannya, pembangunan komuniti luar bandar turut mendapat suntikan baharu dalam aspek sosioekonomi.
Bagi suri rumah, Hafizah Haider, pembukaan kilang di kawasan ini memberi harapan besar kepada anak-anak muda untuk menyertai industri berkemahiran tinggi.
"Ramai lepasan universiti kerja di sini. Peluang pekerjaan memang banyak, terutamanya di bandar Senai dan Kulai. Bagus, pekerjaan tu memang ada, senang cari duit”
Golongan belia turut menyambut baik pembukaan kilang tersebut yang dilihat mampu mengubah persepsi terhadap pekerjaan di sektor perkilangan yang kini lebih kompetitif dan menjanjikan pendapatan yang lebih baik.
"Saya berharap sangat Kulai ini akan lebih maju, untuk golongan anak muda, saya harap pendapatan mereka lebih lumayan dan peluang lebih terbuka," kata peniaga, Muhammad Yusman Samuji.
Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Amirul Syafizi Shafie, pula berpendapat tumpuan perlu diberikan bagi membantu belia mendapatkan kerja.
"Tumpuan perlu diberikan kepada golongan belia lepasan belajar supaya dapat mulakan kerjaya di kilang. Golongan muda mungkin masih ragu-ragu kerana ada tanggapan kilang hanya sesuai untuk golongan berusia, pengalaman saya bekerja sebagai operator kilang, ia sangat bergantung kepada cara majikan dan kadar gaji yang ditawarkan," katanya.
Setakat ini, antara kilang MADANI yang telah memulakan operasi di Johor termasuk Dingtek (Malaysia) Sdn. Bhd. di Senai, Kulai dan STT GDC Sdn. Bhd. di Iskandar Puteri.
Pembukaan kilang-kilang ini dijangka terus merancakkan pembangunan wilayah selatan tanah air dan memperkukuh agenda perindustrian negara selari dengan prinsip Malaysia MADANI.