JOHOR BAHRU, 28 Mei- Sebuah kilang cat melibatkan tujuh unit bangunan di Taman Perindustrian Dato Yunus Sulaiman, Gelang Patah, di sini, terbakar dalam satu kejadian lewat petang semalam.
Kebakaran itu turut mencetuskan letupan, namun tidak melibatkan sebarang nyawa setakat ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, panggilan berhubung kejadian diterima pada pukul 6.37 petang.
Seramai 50 anggota dari lima buah balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat BBP (BBP) Iskandar Puteri, BBP Skudai, BBP Larkin, BBP Pontian Baru dan BBP Kota Tinggi bergegas ke lokasi bagi mengawal serta memadam kebakaran.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran sekitar pukul 6.50 petang.
Operasi berkenaan turut melibatkan enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Senai dan PBS Kulai Besar.
Komander Operasi Kanan, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II Rosfarawadi Ismani Ismail berkata, tiga unit bangunan hangus terbakar, manakala empat unit yang lain masih dalam operasi pemadaman, setakat laporan ini dikeluarkan.
Kerja-kerja penyejukan (cooling) dan "overhaul" masih dijalankan sehingga api dipadamkan sepenuhnya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Agensi lain yang turut membantu dalam operasi tersebut adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ranhill SAJ Sdn Bhd dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Dalam kejadian itu, seorang pekerja TNB mengalami kecederaan. Mangsa telah diberikan perawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).