KUALA LUMPUR, 10 November - Khatib di seluruh negara dinasihatkan agar menjadikan khutbah Jumaat sebagai platform bagi menasihati jemaah dan kariah masjid agar bersatu padu dan bukan sebaliknya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, khutbah Jumaat tidak sepatutnya menjadi pemecah belah, lebih-lebih lagi menggunakan mimbar khutbah yang suci untuk menyebarkan fakta yang tidak benar.
"Cuma saya menasihatkan semua para khatib bukan sahaja di Wilayah Persekutuan tetapi di semua negeri kita ada tanggungjawab, apa tujuan khutbah itu sebab khutbah Jumaat ini seminggu sekali.
"Jadi sepatutnya digunakanlah dalam tempoh khutbah tersebut untuk menasihatkan jemaah yang hadir untuk bersatu padu antara lain keutamaan, ya lah ada isu lain tapi mesti khutbah tadi itu peranan dia adalah untuk menyatupadukan umat Islam," kata Dr Mohd Na'im.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Program Santuni Komuniti Madani Kampung Angkat di Kampung Baru, di sini.
Beliau turut menzahirkan rasa kesal dengan tindakan seorang khatib yang mengulas isu pemberian warganegara kepada lebih satu juta rakyat China dalam khutbah Jumaat di sebuah masjid di Parlimen Padang Serai.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima aduan awal mengenai kejadian yang dilihat mampu mencemarkan institusi masjid.
Jelasnya lagi, khutbah yang disampaikan di setiap negeri lazimnya disediakan Jabatan Agama Islam Negeri.
Justeru, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah melalui penguatkuasaan boleh mengambil tindakan terhadap khatib berkenaan.