fb fb fb fb fb

KHOM sasar 'airdrop' 1,000 kotak makanan ke utara Gaza

FOTO KHOM

KUALA LUMPUR, 19 Mei- Sebanyak 1,000 kotak makanan disasar akan dihantar secara 'airdrop' ke utara Gaza, Palestin menggunakan pesawat kargo milik Tentera Udara Diraja Jordan dalam masa terdekat.

Pengarah Misi Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM), Nik Marina Hussin berkata setakat ini pihaknya telah menyediakan 750 kotak makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata misi berkenaan melibatkan kerjasama dengan Organisasi Kebajikan Hashimiyah Jordan (JHCO), Childcare Charity Association (CCCA) dan Tentera Udara Diraja Jordan.

"Rakyat Gaza yang menderita sekarang iaitu seramai 2.2 juta, di utara Gaza sahaja 300,000 orang.

"Kami sasarkan sekurang-kurangnya paling sedikit pun, 1,000 kotak sebelum kita berlepas, kalau lagi banyak lagi bagus,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menerima undangan program Iris di Wisma Berita, Angkasapuri.

Nik Marina berkata, selain bantuan makanan, kit kebersihan diri juga akan dihantar menggunakan trak melalui jalan darat.

Dalam pada itu, jelas Nik Marinia, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menderma dan bekerjasama dengan KHOM bagi menghantar bantuan ke utara Gaza.

Operasi 'airdrop' itu merupakan fasa ke-18 kempen KHOM dalam membantu Palestin sejak perang ke atas Gaza meletus pada Oktober lepas.

KHOM, sebuah (badan bukan kerajaan) NGO berdaftar giat melaksanakan misi kemanusiaan di enam negara termasuk Jordan, Syria dan Palestin, antara lain bagi membantu pelarian dan mangsa perang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE