IPOH, 20 Mei - Khidmat kaunseling secara berterusan disediakan kepada mangsa terselamat dan waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas jalan raya pada13 Mei lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, sokongan emosi memainkan peranan penting dalam membantu keluarga yang terkesan menghadapi tekanan serta mengatasi kesan trauma.
Bantuan psikososial itu disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama kaunselor Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kebanyakan waris setakat ini, dilaporkan semakin pulih dan menunjukkan perkembangan yang positif.
"Tetapi kita melihat emosi keluarga ini lebih baik jika dibandingkan ketika mula-mula kejadian. Kami menawarkan perkhidmatan berterusan juga kepada keluarga, mangsa yang sudah sedarkan diri dan saya telah menawarkan bantuan kaunseling sekiranya mereka memerlukannya," kata Datuk Seri Noraini semasa mengadakan lawatan rumah ke rumah melibatkan keluarga mangsa di sekitar Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5, di sini.
Jelas beliau, sesi kaunseling akan diteruskan secara fleksibel dan berjadual, termasuk terhadap mangsa yang masih menjalani rawatan di hospital.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan tunai RM1,000 melalui Yayasan Kebajikan Negara kepada setiap keluarga yang terlibat.
Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan bantuan segera berjumlah RM300 bagi meringankan beban awal keluarga terjejas.