fb fb fb fb fb

Kg Angkat MADANI: Kg Kuala Mengkuang terima 34 inisiatif 

Ketua Pengarah ICU JPM, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi (tengah) ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) di Kampung Kuala Mengkuang

BUKIT MERTAJAM, 24 Februari- Sebanyak 34 inisiatif pembangunan telah dilaksanakan di Kampung Kuala Mengkuang, Bukit Mertajam.

Ia dilaksanakan menerusi Program Kampung Angkat Madani yang dikendalikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi berkata kesemua inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama 16 Rakan Strategik Utama (RSU) ICU JPM melibatkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan swasta.

"Secara keseluruhannya terdapat 34 projek fizikal dan bukan fizikal. Kita telah laksanakan di kampung ini dan untuk makluman pada tahun lepas, kementerian kerajaan telah meperuntukkan RM2.5 juta kepada setiap Kampung Angkat MADANI.

Jadi, apa yang kita telah buat dengan peruntukan tersebut, kita telah berbincang memberi peluang kepada penduduk kampung dan apa yang kita telah laksanakan, memenuhi hasrat seperti yang dipohon oleh penduduk kampung," kata Datuk Indera Nik Nasarudin kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) di Kampung Kuala Mengkuang, di sini.

Pembinaan dewan terbuka, pembaikan Tabika KEMAS, projek kebun komuniti, menaik taraf serta menceriakan kawasan di sepanjang jajaran Sungai Kulim, antara pembangunan yang dilaksanakan menerusi program Kampung Angkat MADANI.

Terdahulu, sebanyak 42 buah kampung di seluruh negara telah dipilih sebagai projek rintis Kampung Angkat MADANI melalui Pembentangan Belanjawan yang lalu.

Program bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi di peringkat kampung serta melengkapkan kemudahan asas.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM